Sunday, January 23, 2011

Minggu 1: Penggunaan Enjin Pencari Bahan Bahasa Melayu

1.1 Menggunakan web, video, audio dan imej

Terdapat beberapa pembekal maklumat yang terdapat di internet seperti Yahoo, Google, MSN dan lain-lain. Yang selalu digunakan ialah Yahoo dan Google. Kesemua pembekal maklumat internet memberikan perkhidmatan yang hampir sama iaitu bahan yang berelemenkan audio, video, teks, dan grafik.

Untuk melayari internet dengan menggunakan pelayar tertentu, pengguna perlu menaipkan alamat internet. Selalunya, apabila pengguna mengklik ikon internet, maka pengguna akan dibawa terus ke halaman yang telah disetkan secara semula jadi.

Contoh alamat pembekal maklumat internet:

www.yahoo.com
www.yahoo.co.uk
www.yahoo.com.my
www.google.com

Untuk mendapatkan bahan, taipkan nama bahan yang berkenaan di dalam kotak pencari dan kemudian klik pada Web search. Untuk mendapatkan bahan video, klik pada perkataan video dan kemudian klik di dalam kotak pencari bahan yang hendak diperolehi daripada internet. Bahan video boleh juga didapati daripada Youtube dengan menaipkan www.youtube.com Lihat contoh di bawah.

Taipkan video yang hendak digunakan di dalam kotak pencari. Setelah mendapatkan video yang diperlukan, anda perlu memuat turun video tersebut dengan menggunakan youtube downloader. Youtube down loader ini boleh dimuat turun secara percuma daripada internet. Setelah dimuat turun, gunakan youtube downloader ini untuk memuat turun bahan yang diperlukan

Kesemua bahan yang dimuat turun daripada internet, hendaklah disaring terlebih dahulu sebelum digunakan di dalam pengajaran Bahasa Melayu di bilik darjah. Guru perlu mengambil kira faktor agama, kepercayaan, adat resam, dan sensitiviti kaum sebelum menggunaan bahan yang diperoleh daripada internet.

Gunakan kotak pencari Yahoo! untuk mendapatkan bahan bunyi, teks, dan grafik. Simpan semua bahan berkenaan di dalam folder tajuk 1. Di dalam folder tajuk 1, buat folder audio, video, grafik, dan teks dan masukkan bahan yang berkenaan ke dalam folder yang berkaitan.


1.2 Menggunakan kata kunci, frasa yang sesuai untuk mendapatkan bahan pengajaran bahasa Melayu.

Untuk mendapatkan bahan daripada internet, anda harus menaipkan perkara yang hendak diperolehi ke dalam kotak pencari. Sila lihat contoh di bawah.

Setelah menaipkan perkara yang hendak diperolehi, sila klik Web search dan anda akan diberikan pilihan seperti yang berikut.

Anda akan diberikan pilihan yang di dalamnya mengandungi perkataan “resepi” + “masakan”. Ini menjadikan pilihan anda menjadi terlalu banyak.

Anda boleh mengurangkan pilihan anda dengan menggunakan tanda “ “ seperti “resepi masakan”. Dengan berbuat begini, anda akan mengurangkan penyenaraian anda.

Setelah anda menemui apa yang diperlukan, anda perlu menyesuaikan isi kandungan yang berkenaan dengan hasil pembelajaran yang hendak dikuasai dalam sesuatu pengajaran. Pastikan anda sentiasa merujuk kepada sukatan pelajaran Bahasa Melayu untuk memastikan anda tidak terpesong daripada hasil pembelajaran yang telah dirancangkan melalui Rancangan Tahunan dan Rancangan Pengajaran Seminggu.

1.3 Menyimpan bahan dalam bentuk fail internet dan katalog internet.

Alamat Internet:

Untuk menympan bahan dengan menggunakan alamat internet, anda perlu mendapatkan halaman yang berkenaan terlebih dahulu. Lihat gambar rajah yang berikutnya.

Apabila telah menemui halaman yang berkaitan, sila klik kanan pada bahagian alamat tapak. Setelah diklik kanan, paparan arahan yang keluar dan sila klik copy.

Buka fail Word dan klik paste alamat tersebut ke atas fail yang berkenaan. Apabila ini dilakukan, alamat yang berkenaan akan dipindahkan ke dalam fail Word.

Setelah itu, masukkan tajuk laman tadi. Sila buat berulang-ulang kali sehingga anda mahir melakukannya. Sebagai contoh, yang berikut diberikan beberapa contoh alamat internet yang telah diberikan.

Wajik
http://ms.wikipedia.org/wiki/Wajik

Karipap
http://ms.wikipedia.org/wiki/Karipap

Menambah Nilai Buku
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Katalog Internet:

Katalog alamat internet mempunyai perbezaan daripada alamat internet kerana katalog alamat internet, mempunyai tajuk, alamat laman, dan sinopsis. Dengan menggunakan katalog alamat internet, anda dapat mengetahui isi kandungan laman berkenaan daripada sinopsis yang disertakan.

Sila sediakan kotak seperti yang di bawah ini:

Tajuk
URL
Sinopsis

Untuk mendapatkan alamat laman, sila ikut prosedur yang telah dinyatakan di atas dan pindahkan ke dalam kotak seperti yang ditunjukkan di dalam contoh di bawah. Masukkkan tajuk, alamat laman, dan sinopsis. Sila lihat contoh yang berikutnya.

Tajuk
Peribahasa Melayu
URL
http://www.karyanet.com.my/bahasa/peribahasa_sm/simp.php?pageNum_simpulan=2&simpulan_abjad=a
Sinopsis
Laman sesawang yang di keluarkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka ini mengenai peribahasa Melayu yang di gunakan dalam sukatan pelajaran bagi sekolah menengah di Malaysia. Laman sesawang ini menyenaraikan semua peribahasa.

Tajuk
Seni Tenun Melayu
URL
http://culture.melayuonline.com/?a=c3VUL29QTS9VenVwRnRCb20%3D=
Sinopsis
Laman sesawang mengenai seni tenun Melayu yang terdapat di nusantara.

Wednesday, January 5, 2011

Teknologi Maklumat dalam P&P Bahasa Melayu

Teknologi maklumat dalam P&P Bahasa Melayu.

Pada amnya proses evolusi Bahasa Melayu berkembang dan maju selaras dengan taraf perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat bahasanya melalui peperangan, perkahwinan, perdagangan, pentadbiran, persuratan, keilmuan dan kebudayaan. Sejarah juga telah menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah berkembang dari status bahasa Melayu Purba menjadi bahasa Melayu Kuno dan seterusnya ke bahasa Melayu Moden setelah melalui beberapa penyerapan dan penyebatian daripada bahasa-bahasa Sanskrit, Arab, Cina, Belanda, Portugis dan Inggeris. Dalam perkembangan era globalisasi dunia hari ini yang telah dipercepatkan oleh perkembangan tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT), meneruskan proses evolusi bahasa Melayu ke peringkat maya yang akan memberi cabaran-cabaran baru kepada masyarakat bahasanya termasuk di negara ini untuk bersaing dengan bahasa-bahasa utama dunia yang lain.

Sehubungan itu, karangan prosa ini akan membincangkan aspek-aspek umum yang menjadi isu dan cabaran asas kepada pengembangan penggunaan bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Pengupasan dan penghuraian yang dibuat oleh penulis merupakan satu bentuk pandangan dan tinjauan secara umum kepada masyarakat yang berbahasa Melayu (masyarakat bahasa Melayu) tanpa melalui kajian empirikal yang memungkinkan berlakunya bais kepada kenyataan-kenyataan yang dikemukakan kepada pembaca.


Bahasa Melayu Dalam Era Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT)
Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Fenomena ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini.


Penekanan terhadap ICT di era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan bahasa Melayu digunakan di dalam era ICT sebagai bahasa perantaraan alternatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bahasanya? Mampukah pengiat-pengiat bahasa Melayu menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi untuk pembangunan bahasa Melayu?
Sebagai satu pandangan umum, masyarakt bahasa Melayu perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi cabaran perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Perlu diakui bahawa bahasa Melayu masih lagi ‘muda’ dari sudut peristilahan sains dan teknologi berbanding dengan bahasa Inggeris. Usaha supaya bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan terlaksana jika masyarakat bahasanya mempelajari pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh bahasa Inggeris.


Isu dan Cabaran Penggunaan Bahasa Melayu Di Era ICT
Penggunaan bahasa Melayu di dalam era ICT yang pastinya akan melalui pelbagai isu dan cabaran yang perlu diberi perhatian dan penelitian untuk kepentingan masyarakat bahasanya. Umumnya, antara isu dan cabaran adalah seperti berikut :


Pertama : Kewujudan Bahasa Melayu Dalam Konteks K-Ekonomi
Perkembangan yang pesat dalam ICT telah membawa perubahan-perubahan yang pantas dalam mencorakkan bentuk perniagaan, struktur masyarakat dan persaingan yang sengit dalam pasaran antarabangsa. Perubahan-perubahan yang pantas ini telah mewujudkan ekonomi baru dunia yang dikenali sebagai K-ekonomi atau pun ekonomi berasaskan pengetahuan. Di dalam konteks ini, pengetahuan merupakan nadi kepada segala bentuk perlakuan dan pemikiran manusia dalam bidang ekonomi. Kewujudan bahasa merupakan kepentingan dalam aspek pengetahuan kerana ia sumber penting dalam berkomunikasi. Sehubungan dengan itu, seharusnya ICT menjadi saluran penggunaan bahasa Melayu untuk kesinambungan status sejarahnya sebagai bahasa lingua franca dalam cabaran ICT. Bahasa Melayu perlu cukup kukuh dan mantap untuk membolehkan ianya berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang wujud dalam kehidupan dan seiringan dengan bahasa-bahasa moden lain seperti bahasa Inggeris, Sepanyol, Mandarin, Perancis, Arab dan Jepun.


Kedua : Dominasi Bahasa Utama Dunia Di Peringkat Maya
Perkembangan ICT merupakan saluran kepada ‘penjajahan’ bahasa di peringkat maya oleh bahasa yang mendominasi penggunaannya di peringkat antarabangsa seperti bahasa Inggeris. Sejarah telah membuktikan bahasa Melayu telah berjaya menempuh beberapa zaman yang mencabar kewibawaannya dalam persaingan penggunaan bahasanya dengan bahasa-bahasa yang lain. Umpamanya, kesan dari penjajahan negara-negara Barat di rantau kepulauan Melayu oleh Protugis, British, Belanda dan Sepanyol telah memberi kesan yang mendalam kepada perkembangan penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat bahasanya kerana perluasan penggunaan bahasa kedua dalam kehidupan seharian mereka. Namun di atas kekuatan semangat nasionalisme dan kesedaran kemerdekaaan di kalangan masyarakat bahasanya membolehkan bahasa Melayu terus dipertahankan dan mengekalkan martabatnya di arena antarabangsa. Bahasa Melayu juga telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan seperti di negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Malah di beberapa daerah di Thailand Selatan dan Filipina Selatan masih terdapat masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu. Walaupun kata-katanya diungkapkan dalam bunyi, tatabahasa, nahu dan ungkapan yang berbeza serta dibatasi oleh sempadan antarabangsa tetapi ia tetap dan masih dikatakan bahasa Melayu kerana asal-usulnya ialah dari bangsa Melayu yang serumpun.


Ketiga : Kemampuan Menjana Idea Baru, Kreativiti Dan Inovasi Dalam Memantapkan Penggunaan Bahasa Melayu
Masyarakat bahasa Melayu perlu menerima hakikat perkembangan ICT adalah berhubung kait secara langsung dengan kemampuan menjana idea baru, kreativiti dan inovasi dalam memantapkan penggunaan bahasa Melayu. Ketrampilan bahasa Melayu di era siber adalah bergantung kepada sejauhmana masyarakat bahasanya mampu menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan persekitarannya. Masyarakat bahasa Melayu perlu menukar mindset kepada penggunaan bahasa Melayu yang didorongi oleh pengetahuan supaya memperolehi manfaat daripada penggunaan ICT ekoran daripada hasil perkembangan global. Sehubungan itu, strategi perlu dirancang dengan teratur untuk memantapkan kekuatan dalaman bahasanya yang telah terbina sekian lama. Pengalaman lalu membuktikan keupayaan masyarakat berbahasa Melayu yang didokongi oleh bangsa Melayu telah dapat mempertahankan dan mendaulatkan bahasa Melayu dengan cekap dan berkesan di arena antarabangsa terutama di rantau Nusantara ini. Namun, pengalaman masa lepas belum pasti menjamin kejayaan masa depan. Senario abad ke 21 jauh lebih mencabar dan penuh ketidaktentuan serta amat berbeza dengan perubahan yang dialami sebelumnya. Ini ditambahi lagi perkembangan pesat ICT dan penggunaanya di dalam masyarakat dunia.


Keempat : Persepsi Kedudukan Bahasa Melayu Terhadap Penguasaan Bahasa Inggeris
Penekanan terhadap K-ekonomi yang dipercepatkan dengan kepesatan perkembangan ICT telah menjadikan penggunaan bahasa Inggeris semakin unggul sebagai bahasa pengantar masyarakat dunia selaras dengan pengiktirafan yang diberikan kepadanya sebelum ini sebagai bahasa antarabangsa. Perkembangan bahasa Inggeris ini telah menimbulkan reaksi yang berbeza-beza di kalangan pemimpin-pemimpin, cendiakawan-cendiakawan, budayawan-budayawan dan sasterawan-sasterawan di seluruh dunia berkaitan dengan kesannya terhadap kedudukan bahasa-bahasa lain yang melambangkan identiti sesuatu kaum atau bangsa.
Peluasan dan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa tidak dapat dielakkan. Masyarakat dunia secara langsung telah dipengaruhi oleh peluasan bahasa Inggeris sebagai persediaan untuk menghadapi K-ekonomi. Peluasan bahasa Inggeris ini didorongi oleh keperluan memperolehi maklumat dan pembelajaran di peringkat maya melalui kemajuan ICT. Fenomena ini tidak bermaksud untuk menidakkan kepentingan bahasa Melayu tetapi meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa alat berkomunikasi dalam teknologi maklumat, internet dan dagangan antarabangsa. Manakala, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan jati diri masyarakat bahasanya. Namun tidak mustahil dengan usaha-usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak akan menjadikan bahasa Melayu mempunyai peranan yang besar dalam penggunaannya di dalam ICT. Sehubungan dengan itu, penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh masyarakat bahasanya mempunyai peranan yang berbeza dan tidak seharusnya menimbulkan konflik jika masyarakat bahasanya jelas tentang peranan penguasaan dan penggunaan kedua-dua bahasa tersebut.

Kelima : Memperkayakan Bahasa Melayu Bahasa Melayu bersifat keterbukaan dan berkembang dari semasa ke semasa.
Sejak dalam penjajahan Portugis, Inggeris dan Belanda, bahasa Melayu telah berkembang menyeresapi istilah-istilah asing dan lantas memperkayakan bahasa Melayu. Istilah-istilah seperti lampu, almari, bendera, buku, bola dan meja merupakan contoh-contoh istilah terbitan daripada bahasa-bahasa asing. Malah, sebelum penjajahan, bahasa Melayu juga telah meminjam dari bahasa-bahasa Sanskrit dan Arab seperti istilah sastera, bulan, akhirat dan zahir.
Pengembangan bahasa Melayu akan lebih ketara apabila kita memasuki zaman baru seperti di era ICT. Seringkali ada istilah-istilah baru asing yang diterbitkan dan diperkenalkan. Justeru itu, untuk bersaing dengan bahasa-bahasa utama, bahasa Melayu harus berkembang dalam menerbitkan istilah-istilah baru bagi menterjemaah istilah-istilah baru yang asing. Istilah-istilah baru seperti tetikus, perisian, perkakasan, siber, laman, jaringan, internet dan batang bedek telah berjaya diterbitkan dan digunapakai. Walaupun begitu, keterbukaan sifat bahasa Melayu seharusnya sentiasa dipantau perkembangannya dengan ketat agar tiada penyelewengan dalam memelayukan istilah-istilah asing.


Keenam : Memasyarakatkan Bahasa Melayu Melalui Ruang Siber
Bahasa Melayu sebagai identiti buat masyarakat di beberapa negara di rantau Asia Tenggara. Bangsa Melayu di Singapura mempunyai ‘Bahasa Melayu Singapura’ dan bangsa Melayu di Indonesia mempunyai ‘Bahasa Indonesia’, dan Malaysia berbangga dengan ‘Bahasa Malaysia’. Keberkesanan untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu di dalam era ICT terletak di bahu masyarakat bahasanya. Inilah masanya untuk masyarakat bahasa Melayu menempa nama di persada antarabangsa dengan menggunakan dunia siber yang menghubungkan di seluruh pelusuk dunia.
Dalam merelisasikan penggunaan bahasa Melayu di peringkat maya bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah dan remeh temeh. Banyak kegiatan ilmiah dan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan agar perkembangan penggunaan bahasa Melayu dianggap ‘hidup’ dan ‘tidak mati’ oleh masyarakat dunia. Kegiatan-kegiatan yang telah dan akan dilaksanakan dengan kemudahan ICT seharusnya mempunyai matlamat yang sejajar dengan arus pemodenan dan persejagatan masyarakat dunia agar ia dapat memaparkan bahawa semua kegiatan yang diadakan adalah benar-benar menggunakan dan menjiwai sepenuhnya bahasa Melayu. Usaha orang perseorangan dan syarikat-syarikat masyarakat Melayu dalam men’dotcom’kan bahasa Melayu ke dalam alam internet perlu diteruskan dan diberikan sokongan sewajarnya oleh masyarakat bahasanya. Membawa bahasa Melayu dalam konteks masyarakat Melayu di peringkat maya adalah satu usaha yang perlu dilakukan dengan tekad dan azam yang kuat. Dengan men’dotcom’kan bahasa Melayu di dalam gerbang internet akan menyediakan ruang untuk pelunsur menggunakan bahasa Melayu di internet dan seterusnya meningkatkan imej bahasa Melayu seiringan dengan bahasa-bahasa seperti bahasa Inggeris, Peranchis, Jepun dan Cina. Ia suatu nilai yang penting untuk menangkis segala tanggapan bahawa bahasa Melayu tidak mampu bersaing atau tiada tempat di persada dunia.


Ketujuh : Pesejagatan Dasar Bahasa Melayu Di Peringkat Maya
Masyarakat di beberapa negara yang masih mendaulatkan bahasa Melayu sekarang ini sedang mempelajari bahasa kedua ataupun bahasa ketiga adalah kerana keperluan ICT dagangan. Namun penguasaan bahasa asing ini tidak seharusnya melunturkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri. Masyarakat bahasa Melayu mesti mengguna, mengukuh dan memperluaskan bahasa Melayu di peringkat maya untuk tujuan kenegaraan dan membezakan jati diri masyarakat bahasa Melayu dengan masyarakat-masyarakat bahasa yang lain. Bahasa asing yang diketahui hanya digunakan sebaiknya apabila berdagang dan berkomunikasi dengan masyarakat bahasa lain.
Bagi mencapai hasrat tersebut, peranan dan tanggungjawab negara-negara yang masyarakatnya masih berbahasa Melayu adalah membina empayar dan mengembangkan sastera, budaya dan penerbitan dalam bahasa Melayu di peringkat maya. Persefahaman dan kerjasama dalam perkembangan di peringkat maya ini perlu menggunakan teknologi terkini seperti ICT untuk dimanupulasikan sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi dalam memperkembangkan bahasa Melayu. Munsyi Abdullah telah membuktikan bagaimana perkembangan bahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan tindakan proaktif beliau terhadap penggunaan teknologi percetakan pada zamannya. Oleh itu, dasar persejagatan bahasa Melayu di peringkat maya juga dapat direalisasikan dalam era ICT dengan mengaplikasikan semangat nasionalisme, pengetahuan dan teknologi terkini.

Kelapan : Perubahan Sistem Pendidikan
Institusi pendidikan adalah medium penting untuk mengukuhkan lagi nilai dan keperluan bahasa Melayu di kalangan golongan generasi muda bangsa Melayu melalui sistem pendidikan yang mengambilkira penyerapan dan penyebatian kemajuan dan perkembangan ICT. Misalnya, generasi muda akan mempunyai peluang untuk menghalusi bahasa Melayu ke dalam jiwa mereka melalui kegiatan dan aktiviti bercorak bahasa Melayu dengan menggunakan teknologi maya yang diasaskan oleh kemudahan internet. Melihat kepada dominasi bahasa Inggeris di internet adalah disedari bahasa ini merupakan pencetus teknologi dan ilmu pengetahuan pelbagai bidang yang diinginkan oleh masyarakat dunia. Dalam hal ini, masyarakat bahasa Melayu mestilah tegas menentukan kedudukan bahasa Melayu dan peranan bahasa yang diperlajari dalam sistem pendidikan mereka. Jika bahasa asing yang diperlajari memerlukan makmal dan program khusus dalam menguasainya maka tidak perlu diketepikan juga kepentingan penyediaan prasarana dan program sedemikan kepada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.

Di peringkat dunia, penutur bahasa Melayu adalah seramai lebih 250 juta orang. Ini meletakkan kedudukan status bahasa Melayu ditempat keempat teramai penuturnya selepas bahasa Mandarin, Sepanyol dan Inggeris. Jadi tidaklah mustahil bahasa Melayu boleh menjadi bahasa komunikasi dan dipelajari di seluruh dunia melalui teknologi maya jika masyarakat bahasanya mengambil kesempatan dari pembentukan dunia sejagat tanpa sempadan dan sekatan yang menjadi fenomena sekarang ini.


Kesembilan : Evolusi Bahasa Melayu Dalam Perkembangan ICT
Proses evolusi bahasa Melayu turut berlaku dalam perkembangan era ICT. Penggunaan bahasa Melayu di internet semakin meluas di mana semakin ramai pengguna-pengguna bahasa Melayu mengeksploitasi kemudahan unsur komunikasi tersebut. Ini dibukitkan dengan terdapatnya banyak laman-laman dan penggelungsur berbahasa Melayu di internet yang dibentuk dari negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Perkembangan ini juga diiringi dengan penyediaan kemudahan e-mail dan chat yang secara tidak langsung membantu melestarikan bahasa Melayu. Penerimaan pakai internet ini telah membawa proses evolusi bahasa Melayu ke peringkat maya.
Sebagai contoh kesan dari penggunaan ruang siber yang serba mudah dan serba luas telah menghasilkan istilah-istilah baru yang boleh digelarkan sebagai ‘bahasa Melayu Internet’. Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam), dowang (mereka), tipon (telefon) dan persal (mengapa). Pengubahsuaian juga telah dibuat kepada kata gantinama seperti sayer (saya), dier (dia) dan nko (engkau). Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti biler (bila), camner (bagaimana) dan maner (mana).
Pada pragmatiknya, situasi ini merupakan satu percubaan yang menarik dalam evolusi bahasa Melayu. Namun demikian manupulasi bahasa seumpama ini jika tidak dibendung mampu memudaratkan pengguna dan nilai bahasa itu sendiri. Amalan seperti ini akan menghasilkan ayat-ayat yang tidak gramatik kerana menyeleweng daripada hukum-hukum tatabahasa. Timbul juga perkembangan pemelatan kata-kata, kata-kata bersifat irama, istilah spesifik dan penggunaan simbol-simbol dengan tujuan untuk memeriahkan suasana perbualan, kemesraan dan peringkasan teks dalam berkomunikasi di peringkat maya.
Walau bagaimanapun perkembangan seperti ini perlu dilihat sebagai satu percaturan yang menarik dan sihat yang perlu dimantau supaya tidak berlaku penyelewengan bahasa dari alam maya ke alam realiti. Pengguna-pengguna internet seharusnya mewujudkan persefahaman untuk memastikan bahasa Melayu tetap terpelihara. Sebagai langkah awal, bahasa Melayu internet sebaiknya disimpan sahaja di dalam internet agar kemurnian dan kedinamikan bahasa Melayu lebih terserlah dan kekal relevan serta biarlah ia berkembang mengikut tapak penggunaannya.